Pelaksanaan cukai GST terhadap perkhidmatan kerajaan negeri dan kerajaan tempatan tidak masuk akal, titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
Baginda bertitah, ia merupakan tindakan tidak masuk akal dan kerajaan Persekutuan sepatutnya memberi pengecualian bagi perkhidmatan kerajaan.
Sultan Ibrahim Sultan Iskandar juga bertitah supaya pihak berkuasa tempatan Johor tidak mengenakan cukai tersebut terhadap rakyat. Selain itu baginda turut bertitah supaya pihak berkenaan mendapatkan pengecualian dari kerajaan persekutuan.
Baginda bertitah demikian ketika merasmikan Pembukaan Penggal Ketiga Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ke-13 pada Khamis.
GST telah mula dilaksanakan di Malaysia pada 1 April lalu. Sehubungan itu, baginda menggesa supaya pelaksanaan GST harus diteliti dan dikaji mengikut kesesuaian keadaan.



